Sabtu, 10 Mac 2012

 

السلام عليكم ورحمة الله وبركاتة

Memberi atau mengucapkan salam  kepada orang Islam yang lain adalah perkara yang disunatkan oleh hukum syara'. Bahkan memberi salam itu diletak dan diperuntukkan sebagai hak seorang Islam kepada seorang Islam yang lain.

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang mafhumnya:

Hak orang Islam terhadap orang Islam yang lainnya ada 5 perkara:

1. Memenuhi undangan majlis yang tiada maksiat

2. Menziarahi orang yang sakit setelah 3 hari tiada kesembuhan

3.Bersama mengurus jenazah dari awal sampai ke kubur

4. Menjawab "yarhamkumullah" apabila orang bersin menyebut alhamdulillah

5. Apabila bertemu dengan orang yang dikenali atau yang tidak kenali hendaklah memberi salam kepadanya (H.R Bukhai dan Muslim)

Orang yang bakhil untuk mengucapkan salam boleh dianggap sebagai orang yang cuai dalam menunaikan hak tersebut.

Di antara masa yang disarankan untuk mengucapkan salam ialah ketika hendak masuk rumah, bukan sahaja ketika hendak masuk ke rumah orang lain bahkan juga ketika hendak masuk ke rumah sendiri. Perkara ini diperuntukkan dalam firman Allah Ta'ala yang bermaksud :

Maka apabila kamu masuk ke mana-mana rumah hendaklah kamu memberi salam kepada sesiapa yang seperti kamu dengan memohon kepada Allah cara hidup yang berkat lagi baik." (Surah an-Nur: 61)


Bagaimana caranya memberi salam ke atas diri sendiri? Caranya ialah dengan mengucapkan:

"Assalaa mu'alainaa wa'alaa 'ibaadillaa hisshoolihiin".

yang bermaksud:

"Sejahteralah ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang salih."

Amalan memberi salam ini walaupun zahirnya semacam perkara kecil saja tetapi faedah atau fadhilatnya adalah besar dan hebat. Apakah fadhilat atau kelebihan memberi salam itu? Terdapat beberapa dalil syara' yang menerangkan kelebihan memberi salam, sama ada dalil yang menerangkan kelebihannya secara umum iaitu kelebihan memberi salam tanpa mengira masa-masa tertentu ataupun kelebihannya ketika hendak masuk rumah.


"Tiga golongan, semua mereka itu dijamin oleh Allah, jika dia hidup akan diberi kecukupan dan jika dia mati akan masuk syurga, iaitu: Sesiapa yang masuk rumahnya dengan memberi salam, maka dia dijamin oleh Allah 'Azza wa Jalla, sesiapa yang keluar pergi ke masjid, maka dia dijamin oleh Allah dan sesiapa yang keluar untuk pergi berjihad di jalan Allah, maka dia dijamin oleh Allah." (Hadis Riwayat Al-Bukhari)