Pada zaman dahulu, terdapat seorang pelayan raja bernama
Nasiruddin yang begitu gemar sekali berburu. Pada suatu hari ketika dia
sedang berburu, Nasiruddin ternampak seekor anak rusa yang cantik
sekali.
“Anak
rusa yang cantik itu bolehlah aku berikan kepada anakku. Mereka tentu
sayang kepada anak rusa itu dan menjaganya dengan baik,” kata Nasiruddin
dalam hati.
Nasiruddin
menangkap anak rusa itu dibawanya pulang meninggalkan hutan tempat ia
berburu itu. Apabila ibu rusa sedar bahawa anaknya telah ditangkap
orang, dia merasa amat terkejut sekali. Oleh kerana amat sedih kerana
tidak dapat berbuat apa-apa untuk mendapatkan anaknya kembali, ibu rusa
itu mengekori Nasiruddin dari belakang.
Sementara itu, Nasiruddin yang asyik menunggang kudanya gembira memikirkan tentang anak yang baru ditangkapnya itu.
“Aku telah mendapat seekor anak rusa yang comel. Pasti anak-anakku sambut dengan gembira,” katanya dalam hati.
Tiba-tiba
Nasiruddin sedar ada sesuatu yang mengekorinya, lalu dia menoleh ke
belakang. Ibu rusa itu seolah-olah kelihatan sedih sekali. Ia
seolah-olah berkata kepadanya, “Engkau telah menangkap anakku, hai
pemburu. Hidup aku tidak ada ertinya lagi kalau kau tangkap anakku itu
dari tanganku. Aku rela mati daripada hidup tanpa anak yang ku sayangi.”
Nasiruddin
merasa kasihan melihat ibu rusa itu lalu melepaskan anak rusa dari
pegangannya. Ibu rusa itu terus mendapatkan anaknya itu lalu
menjilat-jilatnya, melompat-lompat kegirangan lalu lari semula ke dalam
hutan. Sebelum menghilang, ibu rusa itu sempat menoleh ke belakang
sebagai tanda mengucapkan terima kasih terhadap Nasiruddin.
Pada malam itu, Nasiruddin bermimpi bahawa Nabi Muhammad datang menemuinya.
“Hai
Nasiruddin,” Nabi berkata. “Allah telah meletakkan namamu dalam senarai
Raja dan engkau akan menjadi Raja,” Nabi memberitahunya.
“Jagalah
kerajaanmu itu. Kerajaan ini juga menjadi satu ujian kepada engkau.
Sebagaimana engkau memperlihatkan belas kasihanmu kepada ibu rusa maka
engkau hendaklah juga berlaku ihsan dan baik terhadap sekalian manusia
yang menjadi rakyatmu itu. Ingatlah Nasiruddin, jangan sekali engkau
abaikan tanggungjawabmu terhadap rakyatmu,” kata Nabi lagi.
Mimpi Nasiruddin itu menjadi kenyataan. Dia akhirnya menjadi Raja Ghazi, satu wilayah di Afghanistan sekarang.