Jumaat, 13 Julai 2012
FAKTA MENGENAI BUNGA MATAHARI
BUNGA matahari berasal dari Amerika Selatan mencapai ketinggian maksimum hingga dua meter. Daunnya berbentuk bujur sirih sepanjang 15 sentimeter panjang dan 12 sentimeter lebar dengan gagang daunnya yang panjang tersusun pada batang pokoknya yang keras dan berbulu.
Bunganya besar memiliki banyak ranggi berwarna kuning terang dengan ukuran melintang antara 10 hingga 15 sentimeter.
Spesies pokok hiasan ini mampu menarik serangga yang turut membantu proses pendebungaan untuk menghasilkan biji benih bagi pertumbuhan anak benih baru.
Hayatnya hanya dalam tempoh semusim. Taman perlu ditanam semula dengan anak benih baru apabila pokok yang lama tidak lagi berbunga, layu dan berguguran daun yang pudar warnanya.
Cara menanam
BIJI benih dari bunga pertama induknya mesti diambil dan ditabur dalam bekas yang mengandungi tanah basah. Ia mudah bercambah dan cepat membesar.
Pindahkan ke polibeg untuk memberi peluang kepada setiap anak benih itu membesar tanpa berlaku perebutan baja dalam ruang bekas yang padat.
Proses tumbesarannya adalah cepat dan boleh dijadikan stok pusingan untuk proses penanaman semula pokok menggantikan pokok lama.
Kaedah penanaman berkelompok dikenal pasti mampu menyerlahkan pemandangan yang menarik. Sesetengah pakar landskap mengklasifikasikan kaedah itu sebagai mencipta semak (bush) bagi hiasan taman.
Cubalah menanam kira-kira 20 polibeg pokok bunga butang dalam satu garisan bulat dan pada garis pusat bulatan itu ditanam pula dengan pokok bunga matahari. Keindahannya pasti terserlah. Penanam juga boleh membina batas mengikut kreativiti tersendiri dengan kombinasi bunga butang yang pelbagai warna bersama serlahan kuning terang bunga matahari.
Siraman mesti dilakukan sekurang-kurangnya sekali sehari hari.
Penggunaan tanah gembur dan baja organik yang dihasilkan daripada najis haiwan reput, kompos dan tanah bakar amat disyorkan bagi memastikan kesuburan pokok dan wujudnya proses membaiki struktur tanah.
Melegakan kesakitan
RAMUAN daripada bunga matahari dipercayai dapat menawar dan meredakan pelbagai jenis penyakit seperti mengurangkan tekanan darah tinggi, batuk, sakit kepala, sakit gigi, reumatik; radang payudara, sukar melahirkan anak, campak; infeksi saluran kencing dan keputihan.
Bijinya pula dipercayai boleh membantu mengatasi masalah tidak nafsu makan, lesu dan meredakan sakit kepala. Bagaimanapun wanita mengandung dilarang meminum air rebusan bunga matahari.