Suatu masa dahulu, terdapat sebatang pokok epal yang amat besar. Seorang
kanak-kanak lelaki begitu gemar bermain-main di sekitar pokok epal ini setiap
hari. Dia memanjat pokok tersebut, memetik serta memakan epal sepuas-puas
hatinya, dan adakalanya dia berehat lalu terlelap di perdu pokok epal
tersebut. Budak lelaki tersebut begitu menyayangi tempat permainannya.
Pokok epal itu juga menyukai budak tersebut.
Masa berlalu... budak lelaki itu sudah besar dan menjadi seorang remaja.
Dia tidak lagi menghabiskan masanya setiap hari bermain di sekitar pokok epal
tersebut. Namun begitu, suatu hari dia datang kepada pokok epal tersebut dengan
wajah yang sedih. "Marilah bermain-mainlah di sekitarku," ajak pokok
epal itu.
"Aku bukan lagi kanak-kanak, aku tidak lagi gemar bermain
dengan engkau," jawab budak remaja itu. "Aku mahukan permainan. Aku
perlukan wang untuk membelinya," tambah budak remaja itu dengan nada yang
sedih. Lalu pokok epal itu berkata, "Kalau begitu, petiklah epal-epal yang
ada padaku. Jualkannya untuk mendapatkan wang. Dengan itu, kau dapat membeli
permainan yang kau inginkan." Budak remaja itu dengan gembiranya memetik
semua epal di pokok itu dan pergi dari situ. Dia tidak kembali lagi selepas
itu. Pokok epal itu merasa sedih.
Masa berlalu...
Suatu hari, budak remaja itu kembali. Dia semakin dewasa. Pokok epal itu
merasa gembira. "Marilah bermain-mainlah di sekitarku," ajak pokok
epal itu. "Aku tiada masa untuk bermain. Aku terpaksa bekerja untuk
mendapatkan wang.
Aku ingin membina rumah sebagai tempat perlindungan untuk keluargaku.
Bolehkah kau menolongku?" Tanya budak itu. "Maafkan aku. Aku tidak
mempunyai rumah. Tetapi kau boleh memotong dahan-dahanku yang besar ini dan kau
buatlah rumah daripadanya." Pokok epal itu memberikan cadangan. Lalu,
budak yang semakin dewasa itu memotong kesemua dahan pokok epal itu dan pergi
dengan gembiranya. Pokok epal itu pun tumpang gembira tetapi kemudiannya merasa
sedih kerana budak itu tidak kembali lagi selepas itu.
Suatu hari yang panas, seorang lelaki datang menemui pokok epal itu. Dia
sebenarnya adalah budak lelaki yang pernah bermain-main dengan pokok epal itu.
Dia telah matang dan dewasa. "Marilah bermain-mainlah di sekitarku,"
ajak pokok epal itu. "Maafkan aku, tetapi aku bukan lagi budak lelaki yang
suka bermain-main di sekitarmu.
Aku sudah dewasa. Aku mempunyai cita-cita untuk belayar.
Malangnya, aku tidak mempunyai bot. Bolehkah kau menolongku?" tanya lelaki
itu. "Aku tidak mempunyai bot untuk diberikan kepada kau. Tetapi kau boleh
memotong batang pokok ini untuk dijadikan bot. Kau akan dapat belayar dengan
gembira," cadang pokok epal itu. Lelaki itu merasa amat gembira dan
menebang
batang pokok epal itu. Dia kemudiannya pergi dari situ dengan gembiranya
dan tidak kembali lagi selepas itu.
Namun begitu, pada suatu hari, seorang lelaki yang semakin dimamah usia,
datang menuju pokok epal itu. Dia adalah budak lelaki yang pernah bermain di
sekitar pokok epal itu. "Maafkan aku. Aku tidak ada apa-apa lagi nak
diberikan kepada kau. Aku sudah memberikan buahku untuk kau jual, dahanku untuk
kau buat rumah, batangku untuk kau buat bot. Aku hanya ada tunggul dengan akar
yang hampir mati..." kata pokok epal itu dengan nada pilu.
"Aku tidak mahu epalmu kerana aku sudah tiada bergigi untuk
memakannya, aku tidak mahu dahanmu kerana aku sudah tua untuk memotongnya, aku
tidak mahu batang pokokmu kerana aku berupaya untuk belayar lagi, aku merasa
penat dan ingin berehat," jawab lelaki tua itu. "Jika begitu,
berehatlah di perduku," cadang pokok epal itu. Lalu lelaki tua itu duduk
berehat di perdu pokok epal itu dan berehat. Mereka berdua menangis
kegembiraan.
Cerita ini sengaja dipaparkan untuk mengajak para remaja berfikir
tentang pengajaran di sebalik cerita tersebut. Sebenarnya, pokok epal yang
dimaksudkan di dalam cerita itu adalah kedua-dua ibu bapa kita. Bila kita masih
muda, kita suka bermain dengan mereka. Ketika kita meningkat remaja, kita
perlukan bantuan mereka untuk meneruskan hidup. Kita tinggalkan mereka, dan
hanya kembali meminta pertolongan apabila kita di dalam kesusahan. Namun
begitu, mereka tetap menolong kita dan melakukan apa sahaja asalkan kita
bahagia dan gembira dalam hidup. Anda mungkin terfikir bahawa budak lelaki itu
bersikap kejam terhadap pokok epal itu, tetapi fikirkanlah, itu hakikatnya
bagaimana kebanyakan anak-anak masa kini melayan ibu bapa mereka. Hargailah
jasa ibu bapa kepada kita. Jangan hanya kita menghargai mereka semasa menyambut
hari ibu dan hari bapa setiap tahun.