Jumaat, 23 November 2012

KENAPA PERLU BERKHATAN


Musim cuti sekolah dah bermula,ramai yg ambil kesempatan untuk buat Majlis Kenduri Khawin dan yang meriahnya juga Majlis Berkhatan, dibuat semeriah kenduri kahwin,siap berarak ada bunga2 telur,berzanji dan marhaban, sempena bulan Muharram juga.

Kenapa kita perlu berkhatan atau bersunat kalau anak2 dan org bukan Islam bertanya, ummi tertarik di Majlis Masjid Negara temphari dalam ramai Orang Islam ada 2 orang yg bukan Islam join berkhatan sama,maknanya mereka dah tahu dan percaya kenapa perlu khatan.

Dalam Islam, berkhatan bermakna memotong lebihan kulit kemaluan bagi mengelakkan ia menutupi keseluruhan kemaluan.
Tujuannya pula bagi memastikan kemaluan seseorang itu bersih daripada kekotoran yang terhasil di bawah lebihan kulit berkenaan.

Dalam kaedah sains perubatan pula, berkhatan bermaksud membuang lapisan kulit yang membalut bahagian depan alat kelamin lelaki yang disebut ‘Qulfah’ kerana lapisan ini mengandungi najis dan lebihan alat kelamin lelaki.

Kekotoran itu pula mampu menyebabkan seseorang lebih mudah mengalami keradangan dan penyakit berjangkit berpunca daripada hubungan seks.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melalui Program HIV/Aids Bersama Bangsa-bangsa Bersatu dan Pusat Kawalan Penyakit (CDC) juga mendapati berkhatan dapat mengurangkan risiko jangkitan virus HIV.

Ia mungkin disebabkan kulit penghujung zakar lelaki berkhatan lebih tebal berbanding lelaki tidak berkhatan dan ia dapat mengurangkan kemungkinan kulit melecet atau tercedera ketika melakukan hubungan seks.

Bagaimanapun perlu diingat, lelaki berkhatan tetap mempunyai peluang tinggi dijangkiti virus HIV atau virus penyakit kelamin lain jika mengadakan hubungan seks dengan pasangan yang ada virus berkenaan.

Berdasarkan Persatuan Pakar Pediatrik Amerika, jika tidak berkhatan, seseorang lelaki itu perlu menarik lebihan kulit (kulup) itu ke belakang sehingga mendedahkan hujung zakar. Ia bagi membolehkan kemaluan dibersihkan setiap hari.

Jika tidak dilakukan, sel kulit yang mati akan terkumpul lalu membentuk kekotoran.

Pakar perubatan berpendapat kulit kulup inilah yang mungkin menjadi punca jangkitan saluran kencing sehingga menyebabkan keradangan.

Justeru, berkhatan adalah cara terbaik untuk mengelakkan jangkitan ini, terutama bagi kanak-kanak lelaki yang mempunyai masalah buah pinggang.

Malah, hasil kajian juga mendapati kanak-kanak lelaki yang berkhatan mempunyai masalah jangkitan saluran kencing lebih rendah berbanding kanak-kanak tidak berkhatan. Masalah zakar seperti keradangan, kerengsaan dan jangkitan sangat kerap berlaku di kalangan lelaki tidak berkhatan.

Menurut Pakar Perunding Kanan Perubatan Keluarga (Kesihatan Lelaki), Hospital Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Dr Shaiful Bahari Ismail, berkhatan pada masa kini bukan saja dilakukan oleh umat Islam, malah mula dilakukan oleh masyarakat bukan Islam, termasuk di Barat.

Katanya, ini kerana mereka mendapati proses berkhatan menjadikan kemaluan mereka lebih bersih dan mudah dijaga.

“Di dalam Islam, berkhatan memang dituntut dan jika kita lihat kenapa ia dituntut, ia sememangnya berkait dengan soal kesihatan.

“Kajian sains perubatan sendiri mengesahkan berkhatan mengurangkan risiko jangkitan HIV dan menjadikan kemaluan seseorang lebih bersih,” katanya.

Shaiful berkata, walaupun kaedah rawatan membabitkan operasi pembedahan kecil sama ada secara tradisional ataupun moden, evolusi rawatan pada masa kini menyebabkan berkhatan semakin mudah dan paling utama kurang menyakitkan.

Namun yang pasti, katanya berkhatan menerusi kaedah tradisional atau moden adalah sesuatu yang baik untuk kesihatan.

sumber : Metro